Ahad, 24 Mei 2009

Konsep ilmu- untuk bacaan semua- hasil dari ku

KONSEP ILMU
A. PENDAHULUAN
Dalam al-Quran disebut banyak kali dan dalam banyak tempat tentang ilmu. Hal tersebut menunjukkan betapa pentingnya ilmu itu kepada manusia, khasnya untuk membina akal dan individu kearah yang baik, sempurna dan mendapat keredhaan Allah di dunia dan akhirat.
Islam amat menuntut umatnya mencari dan mempelajari ilmu, baik ilmu yang merupakan ilmu fardhu ain, mahupun ilmu berbentuk fardhu kifayah. Di mana ilmu merupakan asas yang penting kepada seseorang dalam menjalani kehidupan atau untuk melaksanakan apa yang diperintah. Adalah tidak mungkin seseorang yang tidak berilmu dapat melaksanakan apa yang diperintahkan dengan sempurna. Antara lain, orang yang berilmu sajalah dapat mendekatkan diri kepada Allah dan bertaqwa dengan hakikat sebenarnya.
Sebagaimana firman Allah:
Terjemahan : Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya, hanyalah orang-orang yang berilmu …
(Surah Fathir 35:28)
Dalam konteks lain juga, Islam menyanjung tinggi orang yang alim dan berilmu. Orang yang berilmu diangkat ke darjat yang tinggi dan mulia.
Sebagaimana firman Allah :
Terjemahan : Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman diantara kamu; dan (Allah meninggikan) orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat…..
(Surah al-Mujadalah 58:11)
Manakala orang yang jahil pula disuruh belajar dan bertanya kepada orang yang alim dan berilmu. Hal itu supaya mereka mendapat panduan dan dapat beramal dengan baik serta betul mengikut kehendak syarak.
Sebagaimana firman Allah :
Terjemahan : Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui
(Surah al-Nahl 16:43)
B. PENGERTIAN ILMU
Perkataan ilmu sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran dapat diberikan dengan berbagai maksud dan makna. Dari sini ia dapat diberikan dengan dua pengertian:
1. Pengertian Bahasa.
2. Pengertian Istilah.
Pengertian Bahasa
Ilmu menurut pengertian bahasa membawa erti berikut:
a. al-Ru’yah ( ÇáÑÃíÉ ) iaitu lihat dan perhati. Contohnya sebagaimana firman Allah:
Terjemahan : Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu……
(Surah Muhammad 47:31)
b. al-‘Ilm bi al-Syai’ ( ÇáÚáã ÈÔíÁ ) iaitu mengetahui tentang sesuatu. Sebagaimana firman Allah:
Terjemahan : Sesungguhnya Ia mengetahui (segala keadaan yang patut berlaku), yang nyata dan yang tersembunyi.
(Surah al-‘Ala 87:7)
c. al-Izn ( ÇáÃÐä ) iaitu kebenaran dan keizinan. Sebagaimana firman Allah :
Terjemahan : Maka ketahuilah! Bahawa al-Quran itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah dan bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah……
(Surah Hud 11:14)
Pengertian Istilah
Pengertian ilmu menurut istilah ialah mendapat sesuatu atau pengetahuan tentang sesuatu yang belum diketahui melalui cara pembelajaran.
C. PERBEZAAN ILMU, MAKRIFAH DAN HAKIKAT
Berdasarkan apa yang telah dijelaskan, diantara ilmu dengan makrifah serta hakikat, ada perbezaannya. Penjelasan mengenai perkara ini secara ringkasnya dapat dijelaskan sebagaimana berikut:
1. Ilmu merupakan suatu pengetahuan yang meliputi pengetahuan yang diperolehi oleh seseorang sama ada melalui belajar atau pengalaman. Ilmu juga merupakan pengetahuan yang meliputi perkara yang berasaskan keraguan, syak, kebenaran juga kebatilan. Antara lain, ilmu juga berbentuk umum yang meliputi perkara yang berkaitan dengan hal-hal keduniaan dan akhirat. Justeru itu ilmu adalah meliputi ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.
2. Makrifah ialah keadaan atau sifat seseorang yang mengenal sesuatu dari sudut zat, sifat dan kadarnya hingga akhirnya seseorang itu dapat mengetahui atau dapat membongkar tentang rahsia sesuatu. Menurut pendapat imam al-Ghazali, makrifah masih belum pasti sepenuhnya dan belum mencapai tahap keyakinan yang mutlak. Ilmu berasaskan makrifah juga masih boleh diragui, contohnya, makrifah melalui hissi atau pancaindera seperti : Pada penglihatan mata, matahari adalah kecil tetapi hakikatnya ia adalah besar. Contoh lain, makrifah aqli juga masih tidak terlepas daripada keraguan, seperti : Alam metafizik atau alam ghaib tidak dapat dijangkau tentang hakikat sebenarnya
3. Hakikat merupakan kedudukannya yang paling tinggi serta jalan untuk menjamin ke puncak kejayaan. Hal tersebut kerana ilmu dan makrifah adalah nur untuk mencapai hakikat. Konteks lain, hakikat merupakan makrifah yang yakin serta mutlak. Dengan hakikatlah dapat membezakan antara kebenaran dengan kebatilan. Hakikat boleh dicapai melalui gabungan antara akal, ilmu, wahyu dan makrifah.
D. PEMBAHAGIAN/ KLASIFIKASI ILMU
Dalam konteks lain, ilmu itu pula dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:
1. Ilmu Fardhu Ain.
2. Ilmu Fardhu Kifayah.
Ilmu Fardhu Ain
Ilmu fardhu Ain ialah sesuatu ilmu yang menjadi tanggungjawab setiap individu untuk mempelajari dan mendalaminya. Sekiranya individu itu tidak mempelajarinya maka ia dikira belum melaksanakan tanggungjawabnya dan berdosa. Dalam keadaan lain, ilmu yang berkaitan dengan fardhu Ain ini wajib mempelajarinya dan wajib melaksanakannya. Contohnya : Mempelajari al-Quran, sembahyang dan ibadat lain.
Ilmu Fardhu Kifayah
Ilmu fardhu kifayah ialah sesuatu ilmu yang menjadi tanggungjawab sekumpulan tertentu sahaja untuk mewakili orang Islam yang lain untuk mewakili masyarakat. Ilmu tersebut kiranya sudah ada segolongan yang mempelajarinya, maka orang Islam yang lain berdosa daripada tanggungjawab, dan kiranya tiada seorang pun yang mempelajarinya, maka semua ahli masyarakat berdosa. Contohnya : Ilmu kedoktoran, sains dan mempelajari ilmu tafsir dengan mendalam.
E. SUMBER-SUMBER ILMU
Sebenarnya sumber ilmu itu banyak pecahan dan bahagiannya, ia juga dibahagikan kepada pandangan tertentu, antaranya ialah:
1. Sumber ilmu menurut al-Quran dan hadi
2. Sumber ilmu menurut ahli Falsafah.
Sumber Ilmu Menurut al-Quran Dan Hadis
Sumber ilmu sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Quran dan hadis ialah:
a. Allah sebagai pemberi sumber ilmu yang terbesar dan Allah yang utama memberi ilmu kepada manusia, sama ada melalui wahyu yang mana ia hanya khusus untuk para nabi dan rasul. Antara lain juga ilmu yang dikurniakan oleh Allah, ialah melalui mimpi dan ilham. Setengah orang yang terpilih atau dipilih oleh Allah mendapat Ilmu Laduni, iaitu salah satu daripada bentuk ilmu yang dikurniakan oleh Allah dengan cara ilham dan tanpa belajar, seperti dapat mengetahui tentang firasat atau perkara yang akan berlaku masa akan datang dengan izin Allah. Contohnya, Nabi Khaidir a.s. Sebagaimana firman Allah :
Terjemahan : Dan kami telah mengajarnya sejenis ilmu (Ilmu Laduni), dari sisi Kami.
(Surah al-Kahfi 18:65)
b. Ilmu juga dapat diperolehi dengan mempelajari atau belajar, baik secara langsung atau tidak langsung, membaca, mendengar atau mengkaji. Sebagaimana saranan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn. Majah:
Terjemahan : Menurut ilmu itu wajib ke atas setiap orang Islam lelaki dan wanita.
c. Sumber ilmu itu kadang-kala dapat dicapai dengan bersumberkan pancaindera dan tanggapan pancaindera manusia, seperti : Pendengaran telinga, penglihatan dan pemerhatian mata dan juga melalui hati, iaitu kesedaran, keinsafan dan keyakinan. Sebagaimana firman Allah :
Terjemahan : (Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat), tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan?
(Surah al-Ghaziyah 88:17)
d. Ilmu dan sumber ilmu itu diperolehi melalui penelitian, pemerhatian dan berjalan serta mengambil pengajaran daripada pengalaman lalu yang telah berlaku. Sebagai mana firman Allah:
Terjemahan : Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu daripada mereka?
(Surah Yusuf 12:109)
e. Sumber ilmu itu kadang kala juga diperolehi melalui pertanyaan kepada orang yang lebih mengetahui. Sebagaimana firman Allah:
Terjemahan : Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.
(Surah al-Nahl 16:43)
Sumber Ilmu Menurut Pemikir Islam
Sumber ilmu menurut pemikir Islam, khasnya menurut pendapat Imam al-Ghazali, sumber ilmu boleh dicapai melalui beberapa proses, antaranya ialah:
a. Ilmu dapat diperolehi melalui deria serta pancaindera contohnya : Deria rasa, deria sentuh, deria pendengaran dan juga penglihatan mata.
b. Menurut Imam al-Ghazali juga sumber ilmu juga dapat dicapai dan diperolehi melalui akal, dimana akal itu hendaklah diarah kepada pemikiran atau fitrah akal yang positif hendaklah digunakan untuk mengkaji, berfikir dan memahami sesuatu hingga menghasilkan pengetahuan, sama ada berbentuk pengalaman atau ilmu itu sendiri.
c. Sumber ilmu juga dapat dicapai menerusi institusi, seperti secara rasmi sekarang melalui persekolahan, kuliah, pembentangan kertas kerja, seminar, forum dan seumpamanya. Selain itu ilmu dapat diperolehi juga melalui institusi tidak rasmi, seperti pembelajaran di kampung melalui masjid.
d. Sumber ilmu juga boleh diperolehi melalui ilham.
e. Ilmu dan sumber ilmu boleh dicapai melalui wahyu, ia hanya khusus untuk para nabi dan rasul sahaja.
f. Menurut imam al-Ghazali juga, ilmu itu bukan sekadar berbentuk pengetahuan, tetapi ia hendaklah dilaksanakan atau dipraktikan atau diamalkan. Justeru itu ilmu dapat diperolehi melalui pengalaman dan amalan serta contoh tauladan.
g. Sumber ilmu boleh didapati dengan belajar dan membuat kajian. Imam al-Ghazali menambah lagi, binatang yang tidak berakal boleh dibentuk dan dididik, apatah lagi manusia yang waras dan berakal itu, sudah tentu boleh mencapai dan mendapat ilmu dengan mempelajarinya dan belajar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan