Ahad, 24 Mei 2009

Disiplin untuk murid yang babal- dari hasil pemerhatian ku

1 - DEFINISI
1.1 - DEFINISI DISIPLIN:

Kamus Dewan (2005) mentakrifkan disiplin sebagai latihan pemikiran dan kelakuan supaya dapat mengawal diri sendiri dan patuh tatatertib, peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik, kepatuhan kepada peraturan yang ditetapkan, dan hukuman atau denda kerana melanggar sesuatu peraturan yang ditetapkan
Lindgren (1976) menghuraikan bahawa disiplin membawa maksud hukuman dan kawalan untuk mematuhi tatatertib. Disiplin juga membawa maksud latihan yang bertujuan untuk membetul dan mengukuh pelakuan seseorang.
Secara umum, disiplin melibatkan cara seseorang itu berfikir dengan teratur supaya dapat melahirkan sifat yang rasional, mewujudkan keyakinan diri, dan ketabahan hati seseorang itu untuk mengikut peraturan-peraturan yang diterima umum. Disiplin melibatkan nilai yang berhubung kait dengan tatatertib, tatatsusila, keadaban, akhlak dan kesopanan. Tujuan disiplin adalah untuk mewujudkan tingkah laku yang baik demi kesempurnaan dan kehormanian hidup bermasyarakat.

1.2 - DEFINISI BILIK DARJAH:

Secara amnya, bilik darjah ialah bilik-bilik disekolah dimana sekumpulan murid atau pelajar mengikuti pelajaran atau belajar sesuatu mata pelajaran yang diajar oleh guru. Bilik darjah itu bukan semata-mata merupakan ruang untuk proses pengajaran dan pembelajaran, tetapi mencakupi pelajar-pelajar dan guru yang belajar dan mengajar dan berinteraksi.

1.3 - DEFINISI LAPANGAN:

Menurut kamus dewan lapangan bermaksud kawasan atau tempat yang luas. Tempat yang luas itu adalah bermaksud diluar kawasan bilik darjah. (kamus dewan edisi ketiga, 2002). Ia juga bermaksud apa sahaja bentuk kokurikulum yang berkaitan dengan penglibatan sekolah. Bukan sahaja itu, aktiviti yang dijalankan di luar kelas

2 - KONSEP DISIPLIN BILIK DARJAH

Konsep disiplin mempunyai berbagai-bagai tafsiran:
Mengikut P. F. Oliva (1956), disiplin merujuk kepada kawalan diri, kawalan dari luar, patuh kepada autoriti, keadaan bilik darjah yang teratur, kursus pengajian yang sistematik, cara yang menetapkan peraturan atau hukuman.
Manakala, G. V. Sheriakov F. Redl (1956) mentafsirkan disiplin sebagai perihal ketenteraman dan peraturan di dalam sesuatu kumpulan, termasuk cara-cara mendapatkan ketenteraman dan peraturan itu, serta hukuman. (Mak Soon Sang:1997:110)

Tindakan dan strategi yang digunakan untuk kekalkan peraturan di bilik darjah. Guru perlu wujudkan persekitaran yang kondusif dalam bilik darjah. Menghadapi dan menguruskan tingkah laku murid melalui menarik perhatian murid. (Ang jit eng;2007;5)

Secara am, disiplin ialah peraturan-peraturan yang dipersetujui sesuatu kelompok masyarakat bagi mewujudkan tingkah laku yang baik demi kesempurnaan kehidupan masyarakat itu. Disiplin juga merujuk kepada cara berfikir tersusun yang seterusnya membawa kepada sifat rasional dan keyakinan diri seseorang. (Ee Ah Meng:2001:48)

Pada peringkat sekolah, disiplin adalah peraturan-peraturan yang dikenakan keatas pelajar-pelajar dengan tujuan mengawal tingkah laku mereka melalui hukuman dan ganjaran. Oleh itu, disiplin bilik darjah merupakan peraturan-peraturan yang dikenakan keatas pelajar-pelajarnya supaya mereka berkelakuan baik dan mendisiplinkan diri semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan. (Abdullah Sani Yahaya;45)

Matlamat disiplin pula ialah membentuk disiplin kendiri dengan bermaksud membentuk pelajar yang dapat mengawal dan mengarahkan diri sendiri tanpa paksaan dari luar. (Abdullah Sani Yahaya;46)
Di sekolah, disiplin adalah peraturan yang dikenakan keatas pelajar dengan tujuan mengawal tingkah laku mereka melalui hukuman. Manakala disiplin bilik darjah adalah peraturan-peraturan yang dikenakan keatas pelajar-pelajar supaya mereka berkelakuan baik dan mendisiplinkan diri semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. (Abdullah Sani Yahya;2006;98)
Dari segi tradisi, disiplin selalunya dikaitkan dengan pembentukan individu-individu mengikut nilai-nilai masyarakat, iaitu mesti tunduk dan patuh kepada nilai-nilai peraturan masyarakat.
Dari segi pemikiran moden, disiplin adalah pengawalan yang sepatutnya dibina di dalam diri seseorang bagi mendapatkan cara hidup yang teratur dan bersistematik supaya masa dan tenaga seseorang itu dapat digunakan dengan sebaik-baiknya.
Disiplin dapat dipelajari melalui aturan-aturan dan cara-cara hidup di dalam masyarakat, tetapi tidak semua amalan di dalam masyarakat itu merupakan disiplin, kerana banyak amalan hidup dalam masyarakat itu tidak bersistematik dan banyak yang menghabiskan masa dan tenaga dengan sia-sia.
Peranan pendidikan ialah memberi disiplin di dalam diri murid-murid melalui amalan-amalan di dalam bilik darjah. Sungguhpun pada permulaannya disiplin ini didatangkan dari luar melalui aliran-aliran atau undang-undang tetapi matlamat akhir yang hendak dicapai ialah pembentukan disiplin di dalam diri murid-murid itu sendiri supaya ini dapat mengarahkan tingkahlaku mereka dengan cara yang berkesan. (Atan Long Phd:1980:77-79)
Dalam keadaan dunia yang cepat berubah, peranan ibubapa dan guru dalam suatu bidang kelihatan merentasi antara satu sama lain. Sesetengah pelajar apabila sampai dikelas jelas kelihatan tidak berdisiplin ataupun kurang didisiplinkan dirumah. Setengah ibubapa merasakan guru yang bertanggungjawab mendisiplinkan anak-anak mereka.
Pengajaran menjadi lebih sukar tanpa disiplin. Cara penyelesaiannya hanyalah melalui penetapan rutin harian dan tingkah laku yang mudah dikenal pasti dan diterima. Banyak yang dapat dihasilkan melalui contoh teladan yang ditunjukkan. Namun, panduan serta batasan tertentu haruslah dimaklumkan kepada pelajar. Selalunya, guru lebih Berjaya dengan menonjolkan standard yang diharapkan oleh dunia luar dan dituntut dalam alam pekerjaan berbanding dengan cubaan menetapkan peraturan-peraturan yang harus dipatuhi.




3 - PERKAITAN ANTARA PENGURUSAN BILIK DARJAH DAN DISIPLIN

Di bilik darjah, guru memainkan peranan sebagai pengajar dan sebagai pengurusan. Keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berkait rapat dengan kecekapan pengurusan bilik darjah seseorang guru. Guru yang cekap mengurus, membolehkan pengajaran dan pembelajaran dijalankan secara sistematik dan lancar. Jesteru, guru mewujudkan suasana dan keadaan yang membolehkan murid-murid mengikuti pelajaran mereka tanpa ganguan.

Pengurusan bilik darjah yang baik biasanya menggunakan rutin. Rutin menjimatkan masa dan tenaga. Rutin adalah cara yang sistematik bagi menjalankan aktiviti-aktiviti bilik darjah. Tambahan pula, rutin bilik darjah yang diuruskan secara sistematik dapat mengurangkan masalah disiplin. (Abdullah Sani Yahya;2006;99)

Pengurusan keadaan fizikal bilik darjah yang baik dapat mengurangkan masalah disiplin murid. Keadaan fizikal bilik darjah yang baik seperti bilik darjah yang bersih, cahaya yang mencukupi dan sebagainya membolehkan meningkat semangat murid menumpukan perhatian keatas pelajaran.

Peraturan bilik darjah perlu jelas serta mudah dipatuhi. Guru perlu bersifat tegas tetapi adil dalam melaksanakan peraturan-peraturan. Amalan ini memelihara penghormatan murid-murid pada gurunya. Jesteru, perasaan kurang puas hati dikalangan murid-murid dapat dielakkan dan menjauhi masalah disiplin.

Guru perlu berusaha mewujudkan perhubungan yang mesra dengan murid-murid. Perhubungan yang mesra menggalakkan komunikasi antara murid dengan murid. Melalui cara ini, segala masalah murid dapat diluahkan dan guru boleh cuba mendengar masalah-masalah itu secara berasa simpati dengan murid. Amalan ini dapat menggurangkan disiplin di dalam bilik darjah. (Abdullah Sani Yahya;2006;100)

4 - KEPENTINGAN DISIPLIN

4.1 - DIDALAM BILIK DARJAH

Disiplin penting dalam bilik darjah supaya segala matlamat dan objektif sekolah dapat dicapai dengan lebih berkesan. Sekiranya sempurna pasti menghasilkan faedah kepada guru. Disiplin yang baik didalam bilik darjah membolehkan pengajaran dilaksanakan secara teratur dan dilangsungkan dalam suasana tenang.
Apabila peraturan bilik darjah dipatuhi oleh murid, keberkesanan pengajaran-pembelajaran dapat ditingkatkan. Keadaan sedemikian berlaku kerana murid mematuhi peraturan yang ditetapkan. Peraturan-peraturan ini turut membentuk keperabadian murid yang baik. (Abdullah Sani Yahya;2006;100)
Keselamatan murid turut dijamin. Murid-murid yang berdisiplin dapat mengurangkan kemalangan didalam bilik darjah. Melalui disiplin, nilai-nilai murni dapat dipupuk dikalangan murid, seperti tolong menolong, hormat menghormati, kerjasama dan sebagainya. Jesteru, ia melahirkan warganegara yang berdisiplin dan berguna.. (Abdullah Sani Yahya;2006;101)
Disiplin bilik darjah yang baik membawa beberapa faedah kepada guru dan murid. Faedah-faedah tersebut adalah seperti berikut:
1. Pengajaran-pembelajaran dapat dijalankan secara lancar, sistematik serta dalam suasana yang kondusif dan berkesan.
2. Keberkesanan aktiviti pengajaran-pembelajaran dapat dilangsungkan dalam suasana yang tenang dan teratur.
3. Keberkesanan pengajaran-pembelajaran akan dapat ditingkatkan lagi.
4. Murid-murid menjadi lebih produktif jika mereka berdisiplin.
5. Keselamatan murid-murid terjamin kerana setiap murid dapat mematuhi peraturan sekolah.
6. Kemalangan yang berlaku di makmal atau bilik darjah dapat dikurangkan dan dielakkan.
7. Segala tugasan dapat disiapkan dalam tempoh masa yang lebih singkat. Ini bermakna masa dan tenaga murid dapat dijimatkan.
8. Murid-murid dapat dilatih dan membesar menjadi warganegara yang berdisiplin dan berguna.
9. Nilai-nilai moral dapat dipujuk dengan berkesan dalam bilik darjah yang berdisiplin.
10. Suasana bilik darjah adalah lebih tenang dan mesra. Dalam keadaan seperti ini, murid-murid bersedia menyertai pengajaran-pembelajaran. Pembelajaran bertambah lebih bermakna dan menyeronokkan.

Memandangkan kepentingan pengurusan disiplin dalam bilik darjah, kepimpinan guru perlu bijak dalam menangani masalah tingkah laku atau disiplin dalam bilik darjah. (Ee Ah Meng:2001:48-49)
4.2 – DILAPANGAN

Murid dapat mendisiplinkan diri mereka apabila berada diluar bilik kelas. Seperti di perpustakaan, kantin dan lain-lain. Disiplin ini bermacam-macam jenis. Jika dikelas disiplinnya lebih memfokuskan kepada peraturan semasa didalam bilik darjah sahaja. Jika dirumah, disiplinnya berlainan. Ibubapa yang menegakkan disiplin ketika dirumah.

Akan tetapi guru dan ibubapa harus mendidik mereka supaya mendisiplinkan diri dan menjaga tingkah laku apabila berada dilapangan. Seperti menghormati orang yang tua, pergaulan dengan kawan-kawan semasa diluar dan lain-lain.

Ada juga guru yang tidak mempedulikan disiplin murid ketika dilapangan. Mereka membiarkan sahaja murid tersebut membuat kesalahan. Ini akan member kesan terhadap murid tersebut seperti timbulnya perkelahian, mencuri dan sebagainya.

Ibubapa juga termasuk berperanan menjaga disiplin semasa anak mereka berada diluar. Kadang kala ada setengah ibubapa yang menjadi punca murid tersebut masuk dalam masalah disiplin ketika dilapangan. Seperti ibubapa lewat menghantar anak mereka dating kesekolah. Ini akan menyebabkan mereka ketinggalan pelajaran dan tidak mengikuti perbarisan.





5- SEBAB BERLAKUNYA MASALAH DISIPLIN DALAM BILIK DARJAH

GURU

Pendekatan dan kaedah pengajaran yang tidak menarik / tidak sesuai. Guru gagal memilih dan menggunakan pendekatan dan kaedah pengajaran yang menarik dan mengekalkan minat murid kepada perkara yang disampaikan oleh murid. Murid menjadi bosan, tidak menumpukan perhatian dan menimbulkan masalah disiplin.

Ø Perwatakan dan sahsiah guru.
Guru yang tidak tegas semasa menguruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran menyebabkan pelajar ingkar arahan guru dan menimbulkan masalah disiplin dalam kelas.
Ø Guru yang terlalu bersifat autokratik menyebabkan hubungan yang tidak mesra diantara guru dan pelajar. Murid boleh bertindak negatif kerana sentiasa bimbang dan takut.

Ø Guru yang mempunyai sifat pilih kasih dengan memberi layanan yang tidak sama dikalangan murid. Ada murid yang mendapat perhatian daripada guru dan ada yang tidak. Murid yang merasakan diri mereka tidak dilayan oleh guru akan menyisihkan diri atau cuba melakukan sesuatu untuk menarik perhatian guru. Mereka tidak memberi perhatian dengan berbual-bual dan membuat bising. (Shahabuddin Hashim, Shahabuddin bin Hashim, Rohizani binti Yaakub & Mohd Zohir bin Ahmad, Rohizani Yaakub, Mohd. Zohir Ahmad;2007; 147)

Ø Guru tidak melaksanakan pengurusan rutin seperti memastikan bilik darjah itu terang dan tidak terlalu panas, pengudaraan yang baik serta menyediakan bahan pengajaran yang baik.

Ø Persediaan guru juga penting bagi menjamin ketenteraman serta disiplin murid-murid. Sekiranya guru berinisiatif serta kreatif, bahan serta alat bantu mengajar akan menarik minat kanak-kanak dan dengan itu masalah disiplin tidak mungkin muncul. Guru yang kurang tegas serta tidak tetap pendiriannya sukar mendapat penghormatan murid-murid. Guru seperti ini juga susah untuk mengawal anak muridnya. ( Ee Ah Meng : 1988 : 105-108 ).

MURID

Di antara faktor yang menyebabkan berlakunya masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah ialah kurangnya rasa minat untuk belajar di bilik darjah. Dalam hal ini guru memainkan peranan yang penting ke arah mewujudkan satu suasana yang menyeronokkan yang dapat memberi satu impak kepada pelajar-pelajarnya dalam proses pembelajaran.
Sesungguhnya pembelajaran yang berkesan itu seharusnya mempunyai ciri-ciri di mana pelajar-pelajarnya berada dalam keadaan yang ceria serta berminat terhadap apa yang dipelajarinya serta bergerak aktif berinteraksi dengan menggabungkan aspek mental, rohani dan jasmani dalam apa jua aktiviti yang diadakan.Penyebab utama masalah disiplin dalam bilik darjah ;
Ø Kebosanan
– Kegagalan guru dalam menyampaikan aktiviti bilik darjah yang menarik. Membuatkan murid tidak berminat untuk belajar.

Ø Keupayaan laksanakan tugasan yang diberi guru
– Disebabkan kerana terlalu sukar, dinyatakan dalam bahasa yang tidak sesuai dan arahan yang tidak jelas.ini juga sebagai factor timbulnya masalah disiplin kerana kerja yang diberikan guru mereka terlalu banyak dan tidak difahami.

Ø Kekeliruan terhadap kemahuan guru
– Guru gagal memaklumkan dengan jelas mengenai perlakuan yang diinginkan.

Ø Interaksi sosial atau rakan
– Perbualan yang berlebihan sehingga dibawa ke bilik darjah.

Ø Tahap akademik yang rendah
– Kurang keyakinan terhadap diri sendiri. Ini disebabkan tekanan dari keluarga dan pengaruh dari rakan-rakan.



Ø Kesihatan murid
- Hanya murid yang sihat saja yang dapat memberikan tumpuan kepada pengajaran guru. Murid-murid yang tidak cukup rehat rehat atau tidak mendapat tidur yang mencukupi sering akan berasa gelisah serta rimas. Keadaan seperti ini tidak menjamin keberkesanan pengajaran-pembelajaran. Ada di antara murid yang mungkin mengalami gangguan emosi disebabkan keadaan keluarga yang kurang harmonis. Murid seperti ini perlu dirujuk kepada kaunselor sekolah sekiranya guru mendapati sukar untuk menolong

Ø Pengaruh negatif dari keluarga, rakan sebaya dan alam sekitar.
- Murid-murid mudah dipengaruhi oleh tingkah laku daripada ahli keluarga atau alam sekitar. Pengaruh negatif seperti berjudi, bergaduh, bercakap kasar, membaca buku lucah dan sebagainya adalah mudah dicontohi oleh murid-murid mereka. Aktiviti-aktiviti yang kurang sihat ini akan dibawa oleh mereka ke sekolah, dan menimbulkan masalah disiplin semasa mereka belajar.

Ø Bilangan murid yang ramai dalam sesebuah bilik darjah pula mudah menimbulkan masalah disiplin.
- Dalam keadaan bilangan murid yang ramai ini, kawalan kelas adalah rumit dan sukar bagi guru memberi perhatian kepada setiap murid semasa melaksanakan aktiviti pengajaran-pembelajaran. Murid-murid yang tidak dapat layanan yang wajar daripada guru ataupun tidak dapat mengikuti pelajaran yang diajarkan akan merasa bosan dan kecewa, kemudiannya menimbulkan masalah disiplin dalam bilik darjah, seperti membuat bising, berbual-bual dengan rakan sedarjah, berkeliaran, ponteng kelas, membuli rakan sedarjah, tidur dalam kelas dan sebagainya. Kerja kelas diberikan pun tidak dapat disempurnakan kerana tidak sanggup mengikuti pelajaran secara sepenuhnya.( Mok Soon Long : 2003 : 77-79 )

Ø Keadaan fizikal bilik darjah kurang selesa
- Misalnya, kerusi meja terlalu sesak, tidak teratur, cuaca terlalu panas, cahaya kurang cukup, udara dan tempat kurang bersih dan sebagainya. Keadaan fizikal yang kurang selesa ini akan menjadikan murid-murid gelisah. Perasaan murid yang kurang selesa merupakan punca masalah disiplin yang berlaku.

Ø Aspirasi sekolah yang terlalu tinggi
- Pihak sekolah yang amat menekankan pencapaian dan prestasi akademik akan menggalakkan murid-murid yang kurang cerdas menimbulkan masalah disiplin sekolah. Ini adalah kerana murid-murid yang tidak berupaya mencapai aspirasi sekolah sebagaimana yang diharapkan biasanya lebih cenderung untuk menimbulkan masalah disiplin.

6- JENIS DISIPLIN

A) Disiplin arahan guru.
Murid-murid yang baru sahaja memasuki sekolah memerlukan kawalan dan pengarahan yang lebih daripada guru kerana mereka masih belum tahu bekerja dan bermain dalam kumpulan. Mereka tidak berupaya mewujudkan jenis struktur kumpulan yang perlu untuk aktiviti yang tersusun. Dengan bekerja dan bermain dalam situasi yang berstuktur, murid-murid dapat mempelajari setengah-setengah teknik dan sikap yang perlu untuk mengekalkan struktur tersebut. Mereka juga dapat menikmati keselamatan dan kestabilan yang timbul kerana struktur yang diwujudkan oleh guru. Cara guru mewujudkan struktur serta mewajibkan murid-murid mematuhi peraturan merupakan jenis disiplin guru.

B) Disiplin arahan kerja.
Jenis disiplin ini merujuk kepada disiplin yang diwujudkan oleh tugasan yang perlu diselesaikan oleh seseorang itu. Setiap tugasan mempunyai disiplin yang tersendiri, sama ada mengumpul dan mengasingkan setem, kira-mengira, bekerja dalam sesuatu projek dan sebagainya. Semakin matang seseorang itu semakin mudah baginya untuk mematuhi harapan sesuatu tugasan.

Individu yang kurang matang sukar memenuhi harapan satu-satu tugasan dan akan menjadi kecewa serta putus asa. Di dalam sebuah bilik darjah, taraf kematangan antara murid-murid berbeza-beza. Ada yang lebih matang dan ada pula yang kurang matang. Murid-murid yang lebih matang akan membantu dalam pembentukan tingkah laku yang matang dikalangan murid-murid yang lain dengan cara menunjukkan teladan baik seperti menyiapkan satu tugasan dengan baik dan menepati masa.

Disiplin arahan kerja adalah berlandaskan pada motivasi positif. Murid sepatutnya menganggap kerja itu sebagai penting bagi dirinya. Sebagai kesimpulan, boleh dikatakan bahawa tugasan yang menarik, bermakna dan mencukupi akan dengan sendirinya mewujudkan disiplin di kalangan murid-murid di dalam kelas.

C) Disiplin arahan kumpulan/rakan sebaya.
Disiplin ini adalah hasil daripada kawalan rakan-rakan sebaya. Kawalan ini berdasarkan norma satu-satu kumpulan dan sekiranya didapati seorang ahli tidak mematuhi norma atau nilai kumpulan itu, dia akan disingkirkan daripada kumpulan.

oleh itu, seseorang individu terpaksalah mengamalkan nilai-nilai yang diterima oleh kumpulannya supaya dia diterima dan dihormati oleh ahli-ahli kumpulan itu.

D) Disiplin arahan diri.
Seorang anak damit yang baru lahir memulakan hidupnya dengan bergantung kepada ibi bapanya seratus peratus. Semasa dia bertambah matang, dia digalakkan dan dibantu memperoleh kebebasan yang lebih. Matlamat perkembangan yang paling penting bagi seseorang kanak-kanak ialah untuk menjadi seorang individu yang bebas. Satu kelayakan penting untuk mendapatkan kebebasan yang penuh ialah individu itu seharusnya berupaya kompromi dengan harapan masyarakat. Ini termasuklah sifat-sifat bertimbang rasa, bertoleransi, bertolak ansur dan juga mematuhi peraturan serta undang-undang yang disediakan oleh pihak berkuasa. Kebolehan membuat kompromi disebut disiplin arahan diri. ( Ee Ah Meng : 1997 : 221-224 )
7- MASALAH-MASALAH DISIPLIN BILIK DARJAH
Masalah-masalah disiplin bilik darjah berkait rapat dengan masalah disiplin diperingkat sekolah. Jenis salah laku disiplin yang boleh berlaku didalam bilik darjah seperti:
7.1- Semasa pengajaran dan pembelajaran
Ø Melawan / berkasar dengan guru, tidak menghormati guru.
ü (membuat bising, meninggikan suara kepada guru, engan mengikuti arahan guru)
Ø Membaca bahan-bahan lain.
ü (membaca buku komik semasa guru mengajar dihadapan, bermain telepon bimbit)
Ø Mengeluarkan kata-kata kesat / lucah.
ü (menggunakan kata lucah dengan perempuan, guru, dan dengan kawan-kawannya.)
Ø Makan / minum.
ü (makan semasa guru mengajar dihadapan dan ini menunjukkan murid itu tidak sopan dengan guru tersebut.)
Ø Membuat bising / bergerak bebas didalam bilik darjah.
ü (berkeliaran dan berjalan-jalan dari tempatnya ke suatu tempat dan membuat kecoh sedangkan gurunya ada didalam bilik darjah. Ini sering berlaku ketika guru tidak mengajar dan guru menyuruh membuat kerja masing-masing)
Ø Menggangu pengajaran dan pembelajaran.
ü (selalu keluar ke tandas, berjumpa dengan guru lain dan lain-lain hal yang menyebabkan murid itu ketinggalan dalam pelajaran tersebut.)
Ø Tidak membuat kerja seperti yang diarahkan.
ü (selalunya murid malas untuk membuat kerja sekolah apabila disuruh untuk menyiapkannya.kadang-kadang mereka sengaja untuk melambat-lambatkan dan supaya dapat menyambung kerja mereka dirumah, kerana kalau dirumah, mereka akan dapat bantuan dari keluarganya untuk menjawab soalan tersebut.)
Ø Ponteng kelas / lewat masuk kelas.
ü (tidak menghadiri kuliah kerana kemungkinan malas atau takut akan guru yang mengajarnya)
7.2- Di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (semasa ketiadaan guru)
Ø Melawan / berkasar dengan ketua tingkatan / pengawas.
ü (melawan apa yang disuruh oleh ketua kelas dan sebagainya)
Ø Membuli rakan.
ü (memeras ugut, menganiyaya, dan lain-lain)
Ø Berkeliaran.
ü (berjalan-jalan ke kelas lain dan mengacau kelas lain seperti melintas-lintas, berlari dan lain-lain.)
Ø Makan.
ü (keluar makan seperti kekedai-kedai, ini selalu terjadi kepada murid sekolah menengah.)
Ø Berbual-bual / membuat bising.
ü (berbual-bual sehingga membuat bising sehinggakan bilik darjah yang lain terganggu dengan kebisingan tersebut)
Ø Merosakkan harta benda
ü (kerusi, meja, papan kenyataan, menconteng serta merosakkan harta benda sekolah).
Ø Menipu
ü (melibatkan wang) rakan, sekolah pengetua dan sebagainya. Iaitu tidak amanah.
Ø Mengeluarkan kata-kata kesat / lucah.
ü menggunakan kata lucah dengan perempuan, guru, dan dengan kawan-kawannya serta ada yang berani bercumbuan dan mengintai murid perempuan dan sebagainya).)
Ø Mencuri.
ü (mencuri barang-barang kawannya,mencuri barang-barang makmal untuk dijadikan barang untuk berdadah.
(Shahabuddin Hashim, Shahabuddin bin Hashim, Rohizani binti Yaakub & Mohd Zohir bin Ahmad, Rohizani Yaakub, Mohd. Zohir Ahmad;2007;146)

7- CARA MENANGANI MASALAH DISIPLIN BILIK DARJAH

1. Ganjaran bagi perlakuan yang baik.

Pelajar perlu diingatkan bahawa perlakuan yang positif dibilik darjah diberi ganjaran. Guru akan memberi perhatian yang lebih kepada pelajar yang berkelakuan baik. Pujian yang sederhana dan berpatutan merupakan satu ganjaran yang mudah dan berkesan.
Contoh ganjaran nombor, bintang, dan lain-lain. Mempamerkan kerja pelajar, pengiktirafan secara lisan, sijil atau pelekat. Aktiviti yang menarik seperti lawatan.

2. Penggunaan bahasa isyarat

Guru tidak perlu memberhentikan ganjaran sekiranya terdapat pelajar yang tidak memberi tumpuan. Guru boleh menggunakan bahasa isyarat, seperti merenung atau mengeleng-geleng kepala ke arah pelajar tersebut atau menggunakan isyarat tangan agar pelajar memberi perhatian kepada guru.

3. Menyebut nama pelajar

Agar pengajaran guru tidak terhenti atau terganggu, guru boleh menyebut nama pelajar dalam konteks penyampaian pelajarannya. Pelajar yang disebut namanya itu akan sedar bahawa perlakuannya telah diperhati oleh guru.

4. Menghampiri pelajar

Semasa mengajar, guru sebaik-baiknya bergerak secara perlahan dan teratur dihadapan kelas. Sekiranya terdapat pelajar yang tidak memberi tumpuan kepada guru, guru perlu menghampiri pelajar tersebut tanpa memberhentikan penyampaian. Dengan cara ini pelajar terbabit akan sedar bahawa perlakuannya tidak diingini oleh guru.

5. Mengingatkan peraturan kelas

Ada kalanya guru perlu memberhentikan pelajaran sekiranya terdapat perlakuan pelajar yang tidak diingini. Guru perlu mengingatkan pelajar tersebut atau kepada keseluruhan kelas akan peraturan kelas yang telah mereka persetujui bersama. Peringatan ini perlu dibuat agar tidak diulangi oleh pelajar lain.

6. Mempelbagaikan kaedah pengajaran.

Salah satu sebab pelajar berasa resah ketika guru mengajar adalah kerana mereka bosan dengan cara guru menyampaikan pelajaran. Pelajar kerap merasa jemu sekiranya guru hanya menggunakan kaedah yang sama ketika mengajar. Guru perlu menggunakan pelbagai kaedah dan teknik pengajaran agar pelajar tertarik untuk mengikuti pengajaran guru.

7. Jangan mengancam pelajar dengan hukuman

Guru perlu mengelak daripada mengancam pelajar dengan hukuman yang ada kalanya tidak boleh dilaksanakan. Amaran dan ancaman kerap menjadikan pelajar lebih bersikap menentang atau bermusuhan. Apatah lagi sekiranya ancaman atau hukuman itu tidak dilaksanakan. Pelajar tidak akan menghiraukan ancaman guru itu.
Contoh-contoh hukuman:
· Kurangkan markah jika tidak hantar atau menyiapkan tugasan yang telah diberikan.
· Pelajar yang telah merosakkan peralatan tidak diberi keistimewaan menggunakan alat tersebut.
· Bentuk kerja yang berulang seperti menulis berkali-kali dan sebagainya.

Pelajar yang melakukan tingkahlaku yang buruk dan serius seperti terlibat dalam pergaduhan. Pihak sekolah harus menggantung sekolah supaya memberi pengajaran terhadap kelakuannya itu.

8. Gunakan khidmat kaunseling
Ada akalanya masalah disiplin pelajar tidak dapat diselesaikan dengan mudah. Guru perlu merujuk masalah tersebut kepada guru kaunseling. Dengan latihan dan kepakaran yang ada, guru kaunseling mungkin dapat mengatasi masalah tersebut.
9. Teguran membina

Memberi teguran sekiranya murid melakukan kesalahan, guru harus memberi dorongan kepada murid supaya berlaku lebih baik dan tidak bersifat terlalu menghukum terhadap pelajar.

10. Pantau bilik darjah

Pantau bilik darjah dan membuat rondaan dalam bilik darjah. Adakan pertemuan dengan murid dan ajukan soalan-soalan berkaitan pelajaran. Gunakan kaedah pendekatan dan berikan bantuan akademik. Guru harus memerhatikan salah laku dan memerhatikan perlakuan biadap pergerakan murid didalam bilik darjah dan diluar bilik darjah.

11. Pengurusan disiplin

Kesanggupan seseorang individu menghormati dan mematuhi undang-undang sama ada disiplin itu dikenakan dari luar atau dengan kerelaan sendiri.

Dengan adanya pengurusan disiplin diharapkan pelajar ;
- Bekerja dengan tertib.
- Menghormati hak individu.
- Mempunyai tingkahlaku yang baik.
- Menjaga kepentingan orang lain.
- Hormat-menghormati.
- Tolong-menolong.
- Membaiki keadaan.
- Berkhidmat kepada masyarakat.

12. Peraturan

Tidak terlalu banyak ikuti arahan guru awasi tangan, kaki dan barang berbahaya, bersikap tertib dan ramah. Setiap peraturan ditunjukkan contoh dan dinyatakan tingkahlaku tidak sesuai dan bawa berbincang dengan pelajar. Sebab dibuat pelajaran tersebut supaya murid dapat mengamalkan Strategi Pendisiplinan Yang Sesuai


9- PROSES PEMBENTUKAN DISIPLIN

9.1- PROSES PEMBENTUKAN DISIPLIN DI DALAM BILIK DARJAH
Sebagai seorang guru, semestinya mengharapkan pelajarnya berdisiplin dengan menghormati peraturan sekolah, menunjukkan minat yang tinggi dalam pelajaran, mempunyai kesungguhan untuk maju dan sebagainya. Namun, masih ramai pelajar yang mempunyai masalah disiplin terutamanya didalam bilik darjah. Terdapat 2 jenis klasifikasi kesalahan yang dilakukan oleh pelajar dalam bilik darjah iaitu kesalahan berat dan kesalahan ringan.

Kesalahan berat adalah kegiatan jenayah seperti membawa senjata berbahaya ke dalam bilik darjah, membawa bahan lucah serta mengeluarkan perkataan lucah. Manakala kesalahan yang dianggap tidak berat pula adalah bersikap biadap dan menggangu pembelajaran dan pengajaran.
Perbuatan ponteng sekolah dan tidak mementingkan masa juga dianggap sebagai suatu kesalahan. Maka kaedah-kaedah penyelesaian dipilih mengikut kesesuaian jenis kesalahan tersebut.

Terdapat dua pendekatan yang selalu digunakan oleh guru-guru dalam proses pembentukan disiplin pelajar di dalam bilik darjah khususnya. (Abdullah Sani Yahya;2006;108)

Pertama : melalui kepimpinan yang tegas. Sebagai seorang guru, kita perlu bijak dalam menangani sesuatu masalah yang tercetus di dalam bilik darjah. Penilaian yang terdiri berkaitan kesalahan yang dilakukan oleh pelajar adalah penting, kerana nasihat atau teguran yang diberikan oleh guru tepat pada pelajaran yang bersalah. Ketegasan dalam menangani sesuatu masalah menyebabkan pelajar mempunyai perasaan takut pada guru mereka dan tidak berani melakukan kesalahan disiplin di dalam bilik darjah.

Kedua : melalui bimbingan dan kaunseling. Bagi memberikan kaunseling kepada seseorang pelajar, seseorang guru itu hendaklah mempunyai kemahiran yang tertentu untuk berdepan dengan pelbagai masalah pelajarnya. Kemahiran memmberi nasihat dan saranan, member keyakinan dan harapan dan kemahiran menyelesaikan masalah. (Abdullah Sani Yahya;2006;109)



9.2- PROSES PEMBENTUKAN DISIPLIN DI LAPANGAN
Aktiviti kokurikulum
Aktiviti kokurikulum digunakan sebagai strategi mengawal disiplin pelajar di sekolah. Walau bagaimanapun, aktiviti kokurikulum tidak dapat dijalankan dengan sempurna apabila setengah-setengah pelajar enggan melibatkan diri dalam kegiatan ini. Perkara ini juga dianggap sebagai salah satu masalah displin yang selalu dihadapi oleh pihak sekolah.
Ada juga ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak mereka terlibat dalam kegiatan kokurikulum kerana dianggap tidak memberi manfaat kepada pelajar. Sebenarnya, ibu bapa dan pelajar perlu memahami fungsi sekolah yang bukan sahaja memberi ilmu pengetahuan malahan sekolah juga berfungsi melahirkan golongan yang mempunyai anggota badan yang sihat.

10- PERANAN GURU DALAM PEMBENTUKAN CIRI-CIRI DISIPLIN
Disiplin yang berkesan perlu dilaksanakan bersama-sama dengan pengajaran yang berkesan. Peranan guru dalam melaksanakan disiplin sekolah boleh dirumuskan kepada dua bahagian, iaitu mengawas disiplin di dalam bilik darjah, disekitar sekolah dan juga didalam kegiatan-kegiatan di luar sekolah. Guru perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada pengetua sesama guru sendiri dalam tugas melaksanakan disiplin sekolah.
Peranan kedua adalah menjalankan hukuman disiplin apabila diarahkan oleh pengetua, secara arahan nyata mengikut peraturan yang ada. Ianya supaya dapat memupuk nilai-nilai murni dan perkembangan jasmani dilakukan serentak dan menyeluruh, bukan berasingan. (Abdullah Sani Yahya;2006;105)
Pembentukan peribadi yang baik: umumnya tingkah laku kanak-kanak disebabkan oleh ciri yang ada pada mereka dari segi pengalaman yang mereka lalui dan tekanan sosial pada diri mereka pada suatu ketika. Ini adalah bukti yang mengatakan sesuatu tingkah laku itu mempunyai sebabnya. Prinsip ini menggambarkan guru mempunyai peluang mengubah tingkah laku kanak-kanak dengan membantu mereka menyusun semula persekitaran mereka dan membuat rancangan sosial yang baru. Terdapat beberapa cara menerapkan peribadi yang baik. Antaranya ialah:
1- Gunakan pengukuhan dan ganjaran: Masalah disiplin yang teruk dapat diselesaikan dengan menggunakan pengukuhan yang terkawal. Contohnya memberi hadiah, puji-pujian dan sebagainya.
2- Memberikan teladan yang mencukupi: Guru, rakan sebaya, orang yang lebih tua, ibubapa dan buku adalah model atau teladan bagi tingkah laku. Bagi mengaplikasikannya disekolah, guru boleh menggunakan murid yang lebih tua sebagai guru kepada murid yang lebih muda buat beberapa minggu.masalah ini akanmengurangkan masalah tingkah laku murid dan sikap mereka pada sekolah lebih baik. (Abdullah Sani Yahya;2006;106)
3- Hapuskan tingkah laku yang tidak diingini dengan tidak memberi ganjaran: Sebagai contoh; seorang guru sentiasa diganggu oleh murid di mejanya kerana mereka tidak mempunyai tujuan untuk kehadapan. Ada juga guru yang kurang memberi perhatian kepada murid yang bermasalah.
4- Jangan banyak menggunakan dendaan tetapi sekiranya perlu gunakannya dengan bijak: Dendaan mempunyai banyak kesan. Ianya juga tidak berkesan dalam mengawal tingkah laku. Dendaan perlu dilakukan dengan saluran yang betul. Jangan sesekali membuat dendaan apabila kita mengikut perasaan marah pada murid.
5- Membaiki komunikasi dengan murid: Kelemahan komunikasi antara sekolah dengan murid sering terjadi, ini adalah disebabkan oleh kerana guru tidak mengenali muridnya. Pelbagai cara boleh digunakan bagi memperbaiki komunikasi antara murid dengan guru seperti mengadakan jamuan kelas, lawatan luar sekolah atau menganjurkan aktiviti-aktiviti sekolah. (Abdullah Sani Yahya;2006;107)

11- TATACARA DISIPLIN SEKOLAH:

Guru besar merupakan orang bertanggungjawab ke atas disiplin sekolah. Dia mempunyai kuasa ke atas guru dan murid. Walau bagaimanapun, guru besar boleh menurunkan kuasa disiplin dan kuasa menjalankan hukuman kepada guru-guru lain.
Semasa menjalankan kuasa disiplin, peraturan-peraturan berikut perlu dipatuhi:
(Ee Ah Meng:2001:62)
1. Keaadilan hendaklah diamalkan.
2. Seseorang tidak boleh dihukum tanpa belaan daripadanya.
3. Setiap individu yang dituduh hendaklah diberi hak untuk didengar.
Ini bermakna itu diberi peluang untuk mengemukakan segala bantahan dan alasan dalam bentuk bertulis. Murid itu boleh disertai ibu bapa dalam sesuatu pembicaraan (makluman secara lisan).

12- LANGKAH-LANGKAH TINDAKAN DISIPLIN:

Beberapa langkah penting dalam tindakan disiplin adalah seperti berikut:
1. Langkah pertama ialah menerima aduan. Guru besar bertanggungjawab untuk menerima aduan dan memastikan kebenaran aduan itu. Kemudian membuat siasatan lanjut mengenai aduan atau tuduhan yang dihadapkan. Prosedur yang digunakan mungkin berbeza sedikit bagi setiap kes, tertakluk pada beratnya tuduhan itu dan cadangan hukuman yang hendak dilakukan.

2. Langkah kedua hanya dilaksanakan sekiranya didapati bukti-bukti jelas yang berkaitan dengan tuduhan itu. Sebelum hukuman dijatuhkan, murid berkenaan hendaklah diberi peluang untuk menafikan kesalahannya dan menegakkan kebenarannya.

3. Jika murid berkenaan menafikan kesalahannya, langkah ketiga diambil untuk membolehkannya memberi sebab, iaitu murid diberi peluang membela diri dan memberi bukti bahawa tuduhan-tuduhan yang dihadapkan itu tidak betul.

4. Langkah keempat pula ialah langkah membuat keputusan oleh guru besar. Jika murid berkenaan dapat membebaskan dirinya daripada tuduhan yang dihadapkan kepadanya, maka guru besar boleh membuat keputusan bahawa tuduhan itu tidak ada bukti dan oleh itu, tindakan selanjutnya tidak perlu. Sebaliknya, jika murid itu didapati bersalah, satu keputusan hendaklah dibuat dan hukuman yang sewajarnya dikenakan. (Ee Ah Meng:2001:63)
13- PENGURUSAN MASALAH DISIPLIN
Bagi mengatasi masalah disiplin dalam bilik darjah, guru-guru perlu mengambil berat berkaitan aspek-aspek seperti berikut ;
1- Pengelolaan bilik darjah.
2- Aktiviti bilik darjah.
3- Salah laku.
Penglolaan bilik darjah
Guru perlu merancang supaya pelajar berminat untuk belajar dengan menggunakan berbagai aktiviti yang bersesuaian dengan kebolehan pelajar. Guru perlu mengenal pasti pengetahuan sedia ada, keperluan dan kecenderungan pelajarnya terlebih dahulu supaya bahan pengajaran yang diberikan kurang ataupun tidak menimbulkan masalah disiplin.
Teknik pengajaran yang lebih ditumpukan pada pelajar perlu ditekankan. Galakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berkumpulan. Pembelajaran yang melibatkan bimbingan dan bantuan rakan sebaya menarik minat pelajar dan memberi kepuasan pada pelajar seterusnya mengurangkan masalah disiplin.
Guru perlu memberitahu pelajar peraturan-peraturan dalam bilik darjah dan peraturan itu tidak terlampau membebankan. Guru juga diingatkan supaya tidak menggunakan ugutan semasa mengelolakan disiplin bilik darjah.



Aktiviti Bilik Darjah.
Guru perlu merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta tugasan terlebih dahulu. Rancangan yang ditetapkan perlu dilaksanakan seperti yang dirancangkan supaya aktiviti dalam kelas dapat memberikan kesan yang positif.
Oleh itu, guru perlu membuat persiapan peralatan yang diperlukan dalam aktiviti semasa pengajaran supaya dapat menghindarkan perasaan tidak yakin pada guru itu dan seterusnya menimbulkan masalah disiplin. Semasa mengendalikan aktiviti dalam bilik darjah, guru juga perlu menunjukkan keyakinan diri supaya pelajar-pelajar percaya pada kecekapan guru dalam mengawal mereka.
Bagi mengekalkan disiplin dalam bilik darjah, guru perlu melayan pelajar dengan penuh bermaruah dan bertanggungjawab pada kelakuan mereka dan mempelajari perkara daripada kejayaan dan kesilapan yang mereka lakukan.
Pelajar juga patut mematuhi disiplin tugasan yang seharusnya diselesaikan. Disiplin kerja berlandaskan pada motivasi positif iaitu pelajar menganggap tugasan itu penting dan bermakna bagi dirinya.

Salah Laku
Murid keterlaluan dalam tingkah laku terhadap guru dan rakan. Ada murid berani bersikap kurang ajar terhadap guru dan menganggap guru yang mengajar dihadapannya itu seperti tiada guru dan menganggap guru itu sebagai kawan.
Maka oleh itu guru haruslah menunjukkan tingkah laku yang baik. Kerana guru itu adalah “role model” kepada murid.
14- LANGKAH-LANGKAH MENGELAKKAN TIMBULNYA MASALAH DISIPLIN:
1. Pemulihan masa murid-murid:
Ramai murid yang menjadi nakal kerana mereka merasa bosan dan tidak tahu apa yang hendak dibuat. Kalau murid-murid itu sentiasa membuat kerja yang berfaedah, kemungkinan untuk timbulnya kenakalan adalah kurang.

2. Hapuskan keadaan yang menimbulkan gangguan fizikal:
Guru hendaklah memastikan keadaan sekeliling dalam bilik darjah sentiasa dalam keadaan selesa dan terang bercahaya serta mengadakan masa rehat yang mencukupi bagi murid-murid.

3. Gunakan berbagai kaedah penyampaian:
Guru hendaklah kreatif dan menggunakan alat bantu mengajar yang boleh menarik minat murid semasa menyampaikan isi pelajaran yang hendak diajarkan.

4. Beri layanan yang baik terhadap murid-murid:
Guru perlu sedar bahawa murid-murid adalah manusia biasa sebagaimana juga guru. Mereka berhak mendapat layanan yang baik dan beradab daripada guru. Guru perlu ingat bahawa murid-murid akan memberikan penghormatan yang setimpal dengan layanan yang diberikan oleh guru kepada mereka.

5. Libatkan bantuan murid-murid di dalam merancang sesuatu:
Guru hendaklah melibatkan murid-murid ketika membuat sesuatu peraturan atau undang-undang. Dengan itu murid-murid tidak akan merasa marah kepada guru-guru sahaja.
6. Letakkan peringkat harapan yang berpatutan:
Guru perlu meletakkan harapan pencapaian yang tinggi sesuai dengan kebolehan murid-murid supaya dapat menimbulkan keyakinan pada diri mereka untuk terus belajar mencapai ke peringkat yang lebih tinggi.

7. Adakan maklumat balik segera:
Murid-murid selalunya sangat ingin mengetahui tentang prestasi mereka di dalam sesuatu tugas yang diberikan kepada mereka. Sekiranya maklumat ini tidak diberikan dengan segera selepas sesuatu tugas itu disempurnakan, murid-murid mungkin berfikir yang guru tidak menganggap tugas berkenaan sangat penting dan merasakan mereka telah membuang masa menjalankan tugas itu.

8. Berikan pengukuhan positif:
Di dalam menilai kerja-kerja yang dilakukan oleh murid-muird, guru perlu menunjukkan bahagian-bahagian kerja mereka yang telah dibuat dengan baik supaya dapat menggalakkan mereka memperbaiki lagi bahagian yang kurang memuaskan.

9. Guru hendaklah bersifat tekal:
Sekiranya murid-murid mendapati reaksi guru terhadap masalah-masalah yang dihadapi di dalam bilik darjah tidak tekal dan berubah-ubah atau mendapati guru mereka bersifat tidak adil, murid-murid akan kurang menghormati guru.



10. Guru boleh menggunakan penyetujuan rakan sebaya murid-murid bagi membantu mengekalkan disiplin:
Guru yang mendapat sanjungan dan penyetujuan daripada murid-muridnya boleh menggunakan perkara ini bagi menolongnya melahirkan suasana yang menggalakkan pembelajaran dan mengawal rakan sebaya mereka daripada berlakunya masalah disiplin.

11. Elakkan penggunaan deraan:
Kebiasaan mendera adalah satu amalan yang sangat susah hendak dihapuskan. Kebiasaan mendera ini timbul daripada kepercayaan bahawa deraan akan menghapuskan masalah disiplin. Sebaliknya deraan akan menanam sikap membenci guru di kalangan murid terutama kalau deraan itu dilakukan dalam suasana yang beremosi.
(Atan Long Phd:1980:79-84)

15- KESIMPULAN

Kesimpulannya, didapati disiplin adalah penting dalam hidup kerana ia adalah suatu peraturan yang mengikat manusia umumnya supaya akur dengan norma-norma yang diterima dan diakui ramai. Bagi pelajar-pelajar yang belajar didalam satu bilik darjah, disiplin yang baik dapat memberikan suasana aman damai dan teratur supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan baik. Namun, secara realitinya, sekolah menghadapi banyak masalah disiplin kerana ada pelajar yang melanggar peraturan yang ditetapkan. Bukan sahaja pelajar mahupun guru hanya menumpukan disiplin didalam bilik darjah, bahkan disiplin di lapangan ( luar bilik darjah) mesti juga diutamakan.
Disiplin diri amat penting bagi seseorang pelajar, lebih-lebih lagi untuk menjamin keputusan yang cemerlang. Umumnya disiplin diri ialah keupayaan seseorang individu mengawal tingkahlaku supaya memenuhi tuntutan tertentu sebagaimana yang dikehendaki.Sebenarnya pada pandangan peribadi saya disiplin diri ini amat penting sebagai asas kepada titik permulaan kejayaan cemerlang seseorang pelajar. Tentulah dalam hal ini, tanpa disiplin diri seseorang pelajar itu hanya akan berangan-angan tentang keputusan cemerlang dan akhirnya matlamat serta cita-cita yang di idamkan hanya menjadi igauan semata-mata.










BIBLIOGRAPI :
1- PRINSIP DAN AMALAN PENGAJARAN. 2003, abd ghafar md.din:utusan publications dan distributors sdn bhd. Selangor
2 -MENGAJAR SECARA AFEKTIF( SUCCESSFUL TEACHING).2004. bryan coombs,institute terjemahan Negara Malaysia berhad. Kuala lumpur.
3 -PENGURUSAN DISIPLIN MURID. Ang jit eng. 2007 PTS Professional, Pahang; malaysia
4 -MENGURUS DISIPLIN PELAJAR. Abdullah sani yahaya. PTS Professional, 2006. Pahang; Malaysia
5 -GURU SEBAGAI PEMIMPIN. Abdullah Sani Yahaya,publishing sdn.bhd, 2007. Pahang; Malaysia
6 -PEDAGOGI: STRATEGI DAN TEKNIK MENGAJAR DENGAN BERKESAN. Shahabuddin Hashim, Shahabuddin bin Hashim, Rohizani binti Yaakub & Mohd Zohir bin Ahmad, Rohizani Yaakub, Mohd. Zohir Ahmad.2007.pts professional publishing sdn.bhd. Pahang; Malaysia
7- MENGURUS HAL ELWAL PELAJAR. Abdullah Sani Yahaya
8- PENGENALAN PEDAGOGI. Esah sulaiman. 2004.cetak ratu sdn.bhd.
9- SIRI DIPLOMA PERGURUAN: PEDAGOGI II, EDISI KEDUA (SEMESTER II). 2001. Ee Ah Meng, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Selangor Darul Ehsan; Malaysia.
10- -www.google.com
11- SIRI PENDIDIKAN PERGURUAN: PEDAGOGI I, KURIKULUM DAN PENGURUSAN BILIK DARJAH. 1997. Mok Soon Sang, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Kuala Lumpur: Malaysia.
12- PEDAGOGI: KAEDAH AM MENGAJAR. Atan Long Phd. 1980. Fajar Bakti Sdn. Bhd. Petaling Jaya; Malaysia.
13- books.google.com.bn
14- SIRI PENDIDIKAN PERGURUAN PEDAGOGI UNTUK KURSUS DIPLOMA PERGURUAN SEMESTER 2. Mok Soon Long, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. 2003, Selangor Darul Ehsan ; Malaysia.
15- PEDAGOGI TEORI DAN PRAKTIK. Sulaiman Ngah Razali. 2001, Dewan Bahasa Dan Pustaka; Kualaa Lumpur, Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan