Ahad, 24 Mei 2009

hakikat akal- curahan hati dan pemikiran ku

HAKIKAT AKAL

Pengertian hakikat akal
Maksud hakikat: sesuatu yang tidak dapat ditiadakan atau dinafikan kebenaran atau kenyataan.
Maksud akal: budi atau fikiran, daya upaya, ikhtiar, muslihat dan tipu daya.
Akal adalah satu daya yang dicipta allah taala bagi manusia untuk memikir, mengkaji dan memahami sesuatu mengikut syarat-syaratnya yang tertentu. Akal merupakan pintu pertama dalam mengenal allah. Dari segi kewujudan, akal adalah satu jasad halus yang menjadi rahsia Allah taala. Dalam al-quran allah taala telah menjelaskan jasad halus ini dengan firmannya yang bermaksud :
85. Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".(surah al isra’:85)
Maka jasad halus ini berfungsi kepada empat fungsi, iaitu: hati,roh,nafsu dan akal. Maka akal itu adalah serupa dengan hati, roh dan nafsu, Cuma ia berlainan fungsi.

DEFINISI AKAL

Akal berasal dari bahasa arab yang beerti keebolehan memahami atau menegah daripada yang terlarang dan keji. salah satu ciri-ciri akla adalah kebolehan mengamati yang bermakna memahami dan menggambarkan sebab-sebab dan akibat sesuatu.(dr Hassan langulung)
Akal itu ialah suatu sifat daripada cirri-ciri jiwa (hati). Dengan adanya akal itu jiea (hati) dapat mengetahui dan mengenal sesuatu yang ma’kul (yakni yang dapat dipikirkan) dan mahsus (yang dapat di kesan oleh panca indera)
Akal menurut pengertian Islam bukanlah semata – mata akal yang boleh menyelesaikan masalah- masalah ilmiah tetapi juga lebih dari itu ialah akal yang boleh menimbangkan antara perkara yang baik dengan buruk. Antara yang benar dengan yang palsu dan akal itu tunduk pula kepada wahyu ilahi. Ia juga satu daya berpikir dalam jiwa manusia sebagaimana digambarkan dalam al-quran yang memperolehi pengetahuan dengan memperhatikan alam sekitar. Berbeza dengan wahyu yang membawa pengetahuan dari luar manusia iaitu dari tuhan. Pengertian akal ini menunjukkan kepada kemampuan manusia untuk memahami termasuk didalamnya, institusi, ilham dan penghayatan.
Definasi akal menurut Al – Ghazali mempunyai dua pengertian:
1] Akal itu adalah mengetahui hakikat mengetaui segala sesuatu. Dalam hubungan ini akal merupakan sifat ilmu yang terdapat di dalam perbendaharaan hati.
2] akal itu ialah alat untuk menangkap dan mendapatkan segala maklumat. Dalam hubungan ini akal itu ialah hati itu sendiri yang merupakan hakikat manusia.

FUNGSI AKAL

Fungsi akal adalah berfikir berdasarkan pada pengamatan dan fahaman. Akal menggunakan pengamatan untuk menghasilkan sesuatu putusan dan ketentuan.(dr hasan langulung)
Allah menciptakan manusia sebagai satu makhluk yang paling utama dan mulia di alam ini. Sebagai bukti atau lambing kebijaksanaan allah dalam semua aspek. Allah memuliakan mereka dengan diberinya “akal”. Manakala pemberian ini tidaklah sama antara satu sama lain, baik kekuatan berfikir atau memahami, daya ingatan (hafalan) dan lain-lain.
Penempatan Akal
Dari segi hakikatnya tempat akal ialah pada roh buakn pada mana – mana organ. Itu dari segi hakikatnya.dan ini ialah jawapan yang paling tepat.
Bukti mudah akan penempatannya ialah ketika seseorang itu mati, rohnya bercerai daripada jasad dan semua organ.
Bolehkah jasad itu berfikir lagi?sudah setentunya tidak boleh.
Bolehkah kepala mayat itu berfikir? tidak boleh.
Bolehkah otak dalam kepala mayat itu berfikir? tidak boleh.
Bolehkah hati dan jantung yang berupa seketul daging itu berfikir? tidak boleh.
Bolehkah mana – mana organ atau pun bahagian tubuh berfikir? tidak boleh.
Apabila terpisah sahaja roh daripada jasad, secara automatic akal juga hilang daripada jasad.
bolehkah roh berfikir?ianya adalah boleh.
Maksudnya: akal itu melekat pada roh, dan bukan mana – mana organ ataupun bahagian badan.
Akal menurut pandangan zahir.
Menurut pandangan zahir, akal itu dikatakan ada pada sekurang kurangnya 4 tempat iaitu pada:
1- otak \ kepala.
2- Hati
3- Jantung
4- Perut
Hujah mengatakan akal di otak \ dalam kepala
Mengikut kajian sains, umumnya akal itu terletak pada otak dikatakan otaklah yang mentafsirkan apa – apa maklumat yang kita dapat melalui mana – mana pancaindera.fitrah manusia juga menunjukkan akal itu di otak ataupun di dalam kepala.kita biasa mendengar, “engkau ni, tidak ada akal ker?otak letak di lutut agaknyer…” disini menunjukkan akal melekat pada otak dan otak berada di kepala.
Jadi akal yang di kepalabiasanya menunjukkan fikiran.

Hujah mengatakan akal terletak di hati / dalam dada.
Al-quran sering mempergunakan kata qalbu untuk menunjuk akal. Ayat 46 surah al-hajj itu pula umumnya mengatakan akal terletak pada hati.

Manusia juga sering menggambarkan akal itu di hati/ dada tetapi lebih dalam bentuk perasaan. “Sedihnya hatiku”, “Sakit sungguh hati ini”, “Sejuk rasa hati” dan seumpamanya. Semua ini menggambarkan perasaan.


Jadi, akal yang melekat pada hati di dalam dada itu biasanya berkait-rapat dengan perasaan.

hujah-hujah mengatakan akal terletak pada jantung
Hadis Rasulullah yang bermaksud:


“Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging yang apabila ia baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan apabila ia jahat nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah, itulah qalbu.”
(Bukhari & Muslim)

Qalbu dalam hadis ini biasanya dihuraikan sebagai ‘HATI’. Huraian hadis ini ada dua jenis. Jenis pertama membicarakan hati batin iaitu akal fikiran ataupun nafsu. Jika akal fikiran itu baik, baiklah perbuatan anggota badannya. Jika akal fikiran seseorang itu jahat, jahatlah perbuatan tubuh badannya.


hujah-hujah yang mengatakan akal terletak di perut
“Engkau memang tidak berhati perut”. Ungkapan ini untuk menunjukkan seseorang itu tidak mahu menggunakan akal fikirannya dengan betul.
Akal yang di perut ini biasanya menggambarkan NAFSU BURUK

PERANAN AKAL

1. Peranan akal menurut al-Quran dan al-Sunnah
Akal berperanan untuk mengkaji dan mendalami serta mempelajari ilmu. Justeru itu akal yang dikurniakan kepada manusia itu hendaklah digunakan semaksima mungkin dan mengambil kesempatan yang sebanyak mungkin untuk memperolehi ilmu pengetahuan setinggi mungkin. Antaranya sebagaimana firman Allah:
Terjemahan : Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan (pada) pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal.
(Surah ali ‘Imran 3 : 190)
Untuk itu, al-Quran membuka ruang yang selebar mungkin kepada manusia supaya menggunakan akal mereka untuk mencari ilmu, baik Ilmu yang berkaitan dengan keduniaan dan ilmu yang berkaitan dengan akhirat atau keagamaan.
· Peranan akal yang lain ialah untuk mempelajari wahyu Allah dan untuk memahaminya. Justeru itu, akal menyebabkan seseorang itu berilmu dan mengangkat seseorang supaya mendapat kedudukan yang mulia. Sebagaimana firman Allah
Terjemahan : …. Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu; dan (Allah meninggikan) orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat….
(Surah al-Mujadalah 58:11)
· Akal merupakan salah satu syarat manusia ditaklifkan dan akal yang tidak diarahkan dengan betul menurut syarak atau akal yang lalai daripada menunaikan tanggungjawab Allah menyebabkan seseorang itu dikenakan azab. Sebagaimana firman Allah :
Terjemahan : Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati yang tidak (mahu) memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan mempunyai mata yang tidak (mahu) melihat dengannya (bukti-bukti keEsaan Allah), dan mempunyai telinga yang tidak (mahu) mendengar dengannya (ajaran dan nasihat), mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lali.
(Surah al-Araf 7 : 179)
Untuk membuktikan dan hujah akal menjadi syarat taklif juga sebagaimana sabda nabi yang diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Tirmizi :
· Akal merupakan sumber dan memain peranan utama untuk mengenal Allah, sama ada melalui sifat-Nya atau bukti kekuasaannya-Nya. Sebagaimana hadis:
Terjemahan : Berfikirlah kamu tentang makhluk atau penciptaan Allah, janganlah kami berfikir tentang zat Allah, kerana sesungguhnya kamu tidak akan mampu memenuhi kadarnya.
· Akal membawa peranan yang positif serta dengannya seseorang dapat menilai antara kebaikan dengan keburukan. Seandainya seseorang itu tidak mengetahuinya ia hendaklah mengarahkan akalnya supaya berusaha dan bertanya kepada orang yang berpengetahuan. Sebagaimana firman Allah:
Terjemahan : Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.
(Surah al-Nahl 16:43)
Peranan akal menurut pemikir islam
Menurut pendapat Ibn Sina dan Imam al-Ghazali, akal memain peranan penting untuk mencari atau menuntut ilmu pengetahuan. Justeru itulah akal berperanan sebagai sumber ilmu. Dalam konteks lain, Ibn Sina dan al-Ghazali berpendapat di mana akal itu berperanan untuk menaikkan taraf manusia ke darjat atau kedudukan yang lebih baik dan terpuji. Hal tersebut bertepatan dengan hakikat dan realiti yang mana sememangnya orang yang berakal atau berilmu itu mendapat kedudukan yang tinggi serta dihormati oleh masyarakat.
Selain dari itu, akal itu berperanan dan memain peranan utama untuk memikirkan dan mengkaji, seterusnya melahirkan idea atau pun dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk. Ekoran daripada itulah, dengan peranan dan kemampuan yang ada pada akal membolehkan manusia mampu untuk mentadbir dan memakmurkan muka bumi ini.

KEMAMPUAN AKAL

Kemampuan Akal Menurut al-Quran
Akal walaupun setinggi mana dan sepintar mana, ia tetap terbatas dan terhad ruang lingkup kemampuannya. Hakikat mengenai kekurangan dan kelemahan ini perlu diinsafi agar apabila seseorang itu makin tinggi dan makin berilmu, ia semakin tawadduk dan bertaqwa, bukan bertambah angkuh dan megah. Mengetahui kedudukan yang lemah dan terbatas itu juga dapat menarik kesedaran manusia dimana tidak semua perkara yang wujud dapat ditangkap atau difikirkan oleh akal.
Apa yang ketaranya, akal hanya mampu untuk meneliti, mengkaji dan mahami perkara yang berkaitan dengan alam nyata sahaja. Adapun perkara yang berkaitan dengan alam ghaib, akal tidak dapat sampai, ia hanya dapat diketahui melalui wahyu atau perantara para rasul. Antara bukti yang menunjukkan bahawa akal manusia terbatas sebagaimana firman Allah yang berkaitan dengan roh:
Terjemahan : Dan mereka bertanya kamu (wahai Muhammad) tentang Ruh. Katakanlah, “Ruh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”
(Surah al-Isra’ 17 : 85)
Dalam konteks lain, akal manusia itu amat terbatas dan mereka dapat mengkaji atau berfikir untuk menghasilkan sesuatu yang terdaya dan termampu oleh akal mereka sahaja, itupun dengan izin Allah. Walau sepintar mana dan secerdik mana, samada mereka berseorangan, berkumpulan atau bergabung tenaga, namun ruangan dan taakul akal itu tetap lemah dan terhad.
Sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Quran yang menempelak dan mencabar pujangga dan penyair atau cendekiawan Arab yang tidak mengakui kebenaran al-Quran daripada Allah, sebagaimana firman-Nya :
Terjemahan : Katakanlah (wahai Muhammad) : “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun untuk tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu membantu sesama sendiri.”
(Surah al-Isra’ 17 : 88)
Biarpun akal manusia itu terbatas dan terhad, namun dengan keterbatasan itu, seseorang yang dianugerahkan akal mampu untuk meneliti, memerhati dan mengkaji perkara yang dapat ditaakul oleh akal mereka berserta gabungan pancaindera yang dikurniakan. Dalam hal inilah al-Quran juga banyak menyarankan kepada manusia supaya menggunakan akal mereka untuk meneliti dan mengkaji perkara yang berkaitan dengan alam fizikal dan lahirlah demi kehidupan yang lebih sempurna
Contohnya sebagaimana firman Allah:
Terjemahan : Maka mengapa orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara dimuka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?
(Surah Yusuf 12 : 109)
Kemampuan Akal Menurut Pemikir Islam
Menurut pendapat ahli fikir Islam, khasnya Imam al-Ghazali dan Ibn Sina, akal hanya mampu mengkaji dan memahami alam nyata yang boleh diteliti atau boleh ditaakul sahaja. Justeru itu, ruang akal amat terbatas dan ia tidak dapat menyelami hakikat yang tidak dapat ditanggapinya. Dalam keadaan lain akal hanya dapat menaakul apa yang didapat ditanggapi oleh pancaindera sahaja. Hakikat ini terbukti menerusi firman Allah mengenai zat-Nya:
Terjemahan : Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata). Dan Dialah yang Amat halus (melayan hamba-Nya dengan belas kasihan), lagi Amat mendalam pengetahuan-Nya.
(Surah al-An;am 6:103)
Sebagai rumusan, sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Ghazali di dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din, akal memerlukan dalil naqli manakala dalil naqli memerlukan dalil aqli, Bertaqlid tanpa menggunakan akal adalah satu kebodohan manakala menggunakan akal sahaja tanpa wahyu Ila’hi dan sunnah nabi adalah satu penipuan. Justeru itu akal mesti digabungkan dengan naqal, kerana ilmu-ilmu aqli seumpama makanan dan ilmu naqli umpama ubat.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan