Isnin, 25 Mei 2009

Aqidah-Syariah-Ehsan dalam islam-hasil dari pemikiran ku-untuk bacaan semua

Aqidah, syariah dan ehsan dalam islam memenuhi keperluan manusia.

Pendahuluan
AQIDAH:
Aqidah berasal dari “a-qa-da” yang bermakna ikatan, lawan bagi perkataan “lepas”. “a-qa-da” menurut bahasa Arab ialah memastikan dan mengukuhkan sesuatu. Kemudian perkataan tersebut digunakan untuk suatu keyakinan atau kepercayaan yang kukuh dan kuat (I’tiqadun jazim).
Aqidah memerlukan keyakinan penuh dan sekukuh-kukuhnya (at-tashdiqul-jazim). Oleh kerana itu, iman ialah: Tasdiq dengan sepenuh hati dan fikiran mempercayai kebenaran Allah dan Rasul-Nya, yakni kepercayaan yang sama sekali bersih dari syak, keraguan dan kebimbangan, iaitu kepercayaan yang menenangkan hati dan fikiran, kepercayaan yang mantap atau keyakinan yang tidak goyang dan ragu. Keyakinan yang melahirkan kerelaan berjuang di jalan Allah dengan jiwa raga dan harta benda.[1]
Allah Taala telah berfirman:
15. Sesungguhnya orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang Yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang Dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang Yang benar (pengakuan imannya).[2]
Keimanan itu merupakan aqidah dan pokok, yang di atasnya berdiri syariah Islam. Kemudian dari pokok itu keluarlah cabang-cabangnya. Perbuatan itu merupakan syariah dan cabang-cabang yang di anggap sebagai buah yang keluar dari keimanan serta aqidah itu.
Keimanan dan perbuatan, atau dengan kata lain aqidah dan syariah. Keduanya itu antara satu dengan yang lain sambung-menyambung, hubung-menghubungi dan tidak dapat berpisah yang satu dengan yang lainnya. Oleh kerana adanya hubungan yang amat erat itu, maka amal perbuatan selalu disertakan penyebutannya dengan keimanan dalam sebahagian besar ayat-ayat Al-Quran Al-Karim.[3]
Sebagai misal firman Allah Taala:
25. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, Sesungguhnya mereka beroleh syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.[4]

97. Sesiapa Yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka Sesungguhnya Kami akan menghidupkan Dia Dengan kehidupan Yang baik; dan Sesungguhnya Kami akan membalas mereka, Dengan memberikan pahala Yang lebih dari apa Yang mereka telah kerjakan.[5]

Pengertian aqidah itu ialah tentang keimanan, iaitu;
i. Beriman kepada Allah.
ii. Beriman kepada Rasul.
iii. Beriman kepada Malaikat.
iv. Beriman kepada Kitab.
v. Beriman kepada Hari Kiamat.
vi. Beriman kepada Qadha dan Qadar.

Dalil bagi aqidah:
136. Wahai orang-orang Yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran Yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab suci Yang telah diturunkan dahulu daripada itu. dan sesiapa Yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga hari akhirat, maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang amat jauh.[6]

Itulah aqidah yang merupakan kesatuan yang tidak akan berubah-ubah kerana pergantian zaman atau tempat, tidak pula berganti-ganti kerana perbezaan golongan atau masyarakat.[7]
SYARIAT
IHSAN:
Ihsan itu terbahagi kepada dua:
1. Ihsan dalam ibadat.
Ihsan dalam ibadat ialah beribadat kepada Allah dengan penuh khusyuk dan tawaduk di samping bersifat ikhlas kepada-Nya seolah-olah berasa pada saat dan ketika itu berhadapan dengan Allah.
Jika perasaan seumpama timbul dan menyerlah dalam diri manusia, sudah tentu mereka gerun serta takut untuk melanggar larangan Allah kerana berasaskan kehadiran Allah yang sentiasa mengawasi setiap gerak geri dan perbuatan mereka setiap detik.
Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya tetapi jika engkau tidak melihatNya maka sesungguhnya Dia melihat engkau.(diriwayatkan oleh muslim)
2. Ihsan sesama makhluk.
Dalam lingkungan kemasyarakatan pula, setiap anggota masyarakat perlu mempunyai rasa tanggungjawab seperti sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang bermaksud: “Seseorang Muslim adalah bersaudara dengan seorang Muslim yang lain. Janganlah kamu menzaliminya, jangan pula menghinanya dan juga jangan merendahkan mereka.” (Hadis riwayat Muslim)
Maksud ihsan adalah menyeluruh, bukan sekadar kepada fakir miskin, malah meliputi segala aspek kehidupan dan diberikan kepada semua lapisan manusia tidak kira kaya atau miskin.[8]
Ihsan menurut pengertian bahasa ialah ‘berbuat kebaikan kepada orang lain’. Ia dimaksudkan perbuatan ikhlas dan merupakan kemuncak segala kebaikan. Ihsan tercapai setelah sempurna Islam dan imannya. Ihsan yang disebutkan dalam hadith ialah: ‘Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat akan Dia; Jika engkau tidak dapat melihat Dia, maka sesungguhnya Dia melihat engkau.
Menyembah Allah bererti mengabdikan diri kepadaNya dengan ibadat menurut cara yang sebaik-baiknya pada zahir batinnya. Ibadat yang dilaksanakan menurut hakikat ihsan hanya ditumpukan kepada Allah, tidak kepada yang lain atau kerana lain. Itulah yang dikatakan maqam mushahadah, iaitu mempersaksikan Tuhan dari dekat dalam mengerjakan ibadat. Ibadat seperti ini menyebabkan seseorang berasa lebih bertanggungjawab terhadap ibadatnya sehingga melakukannya dengan penuh kejujuran sama ada di hadapan khalayak ramai mahu pun ketika seorang diri. Kerana ia yakin bahawa segala yang dikerjakan itu dilihat oleh Allah, maka kerana itu amatlah malu kalau ibadat atau amalnya sekadar melaksanakan tanggungjawab di dunia sahaja.
Beribadat perlu kepada ihsan untuk menaikkan seseorang kepada maqam mushahadah. Dari maqam ini meningkat lagi hingga ke maqam siddiqin, iaitu ke darjat orang-orang yang benar lagi jujur terhadap Tuhan Rab al-alamin.[9]
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda : “Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan (menyempurnakan seseuatu dengan baik) dalam semua perkara.(riwayat muslim)

KEPENTINGAN AQIDAH, SYARIAH DAN IHSAN:
AQIDAH:
Aqidah yang membawa erti pegangan dan kepercayaan dan pegangan serta kepercayaan ini pula terbahagi kepada dua iaitu benar dan salah. Aqidah yang benar merupakan kunci kepada segala penerimaan ibadah. Tanpa aqidah yang benar Allah tidak akan menerima segala amalan soleh.
Sekiranya aqidah seseorang itu salah maka yang akan dicatit hanyalah amalan keburukkan maka akan dibalas dengan keburukkan. Justeru itu perkara yang berkaitan dengan aqidah tidak harus dijadikan gurau senda atau diremeh-remehkan.
Hubungan aqidah dan amalan soleh ini berdalilkan firman Allah yang bermaksud:"Dan barangsiapa melakukan amalan soleh dari kalangan lelaki ataupun wanita dalam ia beriman (beraqidah dengan aqidah yang betul) maka merekalah yang akan dimasukkan ke dalam syurga dan tidak akan dizalimi walaupun sedikit." (An-nisa: 124)
Ayat tersebut jelas menerangkan bahawa apa sahaja amalan soleh yang dilakukan orang lelaki mahupun perempuan, imanlah syarat utama penerimaan dari Allah. Begitu juga kenyataan dari hadith nabi yang bermaksud, "Semulia-mulia amalan adalah beriman kepada Allah dan rasul-Nya (beraqidah dengan aqidah yang betul)."Riwayat Imam Bukhari dalam kitab Sohih Bukhari. Ini menunjukkan bahawa aqidah merupakan sesuatu yang teramat penting dan perlu diutamakan dari masalah-masalah lain.[10]
Umat Islam yang tidak mempunyai aqidah yang kukuh akan mudah terpesong dan menyeleweng dari ajaran agamanya yang sebenar. Bukan itu saja, ia akan menjadi anggota masyarakat yang tamak kerana cintakan dunia, pengecut kerana takutkan manusia, liar kerana tiada pegangan, tidak jujur kerana tidak mengenal dosa dan membawa pelbagai lagi masalah dan kerosakan yang merugikan pelbagai pihak. Begitu juga segala pembangunan dan kemajuan yang dibina oleh umat Islam, jika tidak didasari oleh kekukuhan aqidah, ia hanya akan membawa kepada pelbagai kekalutan di tengah-tengah masyarakat. Ini kerana, aqidah adalah asas kepada kesejahteraan dan petunjuk dari Allah.

82. Orang-orang Yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka Dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang Yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.[11]
Aqidah juga adalah tunjang segala amalan dan benteng pertahanan yang kukuh daripada segala perkara yang merosakkan. Jika aqidah seseorang itu tidak betul, maka segala amalan yang dilakukannya menjadi sia-sia belaka, manakala di akhirat pula akan dimasukkan ke dalam api neraka.[12]


SYARIAH:
IHSAN:
Ihsan menjadikan amalan diterima dan memperoleh ganjaran yang berlipat ganda.
Ihsan akan dapat melahirkan sifat Ikhlas dalam melakukan amal ibadat

Kesimpulan aqidah, syariah dan ihsan:
Ketiga-tiga perkara ini merupakan perkara pokok dalam ajaran Islam. Kepentingan serta kewajipan memahami dengan tepat adalah syarat utama bagi setiap orang Islam untuk beramal dengan agamanya.
Mengenai tiga perkara pokok ini terkandung di dalamnya prinsip yang paling asas yang boleh mendekatkan manusia memahami kesempurnaan Islam secara lebih dekat. Dalam kehidupan kita sehari-hari, kita berhadapan dengan persoalan ilmu dan pengetahuan di satu pihak dan persoalan bagaimana ilmu pengetahuan itu diaplikasikan dalam bentuk operasional, dan sesudah itu kita mahu melihat pula dari segi kesempurnaan hasilnya.[13]
[1] Muhammad Abdullah Al-Khatib, Ciri-Ciri Khusus Masyarakat Islam, Pustaka Abdul Majid & Dan Pustaka Hamduna, Kuala Lumpur, 1990, ms:25.

[2] Surah al Hujurat, ayat: 15.

[3] Sayid Sabiq, Akidah Islam, Pustaka Nasional Pte Ltd, 2004, ms:7.
[4] Al-Baqarah:25.

[5] Al-Nahl 97.
[6] An-Nisaa 136.

[7] Sayid Sabiq, Akidah Islam, Pustaka Nasional Pte Ltd, 2004, ms:9.

[8] www.nurjeehan.hadithuna.com
[9] Ghazali Basri, Dinamika Tasawwur Islam Dalam Pembentukan Keperibadian Umat, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Brunei Darussalam, 2008, ms:87
[10] www.harakahdaily.net
[11] Al-An’aam, ayat 82.
[12] www.religious-gov.bn
[13] Ghazali Basri, Dinamika Tasawwur Islam Dalam Pembentukan Keperibadian Umat, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Brunei Darussalam, 2008, ms:85.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan